23/03/2025
Mudah-mudahan Mereka Tidak Mendakwa Saya di Akhirat Kelak
Semalam berlangsung satu lagi majlis dialog bersama masyarakat non-muslim dari pelbagai agama di Perlis yang dianjurkan oleh Jabatan M***i Perlis. Dialog kali ini berlangsung dalam Masjid ALWI, Kangar . Saya ingin memberikan peluang untuk masyarakat bukan muslim melihat suasana muslim beribadat. Mereka juga dijemput menyertai masyarakat muslim berbuka puasa di hadapan halaman Masjid Alwi yang sememangnya meriah setiap hari hari ketika waktu berbuka. Mereka juga diberikan sedikit hadiah oleh pihak MAIPs sebagai tanda persahabatan yang baik.
Alhamdulillah, penyertaan sangat baik. Seperti biasa banyak soalan yang mereka ingin tanya. Saya beritahu mereka, tanyalah sekalipun hal yang sensitif. Saya akan cuba jawab.
Hasrat saya jika Allah makbulkan, setiap yang bukan muslim di Perlis pernah mendengar penerangan saya tentang Islam. Sama ada mereka setuju atau tidak, tidak menjadi masalah. Apa yang penting, mereka sudi dengar penerangan saya yang datang jantung yang tulus mengenai apa itu Islam. Tiada paksaan, tiada permusuhan, tiada tekanan. Sekadar ingin menyampaikan sahaja. Saya selalu beritahu mereka bahawa pejabat saya sentiasa terbuka untuk mereka.
Mudah-mudahan jika mereka bertemu dengan saya di Akhirat, mereka tidak memberitahu kepada ALLAH "M***i ini tidak menerangkan Islam kepada kami".
Banyak perkara yang mesti dilakukan oleh seorang M***i berkaitan dengan Umat Islam, dan banyak juga tanggungjawab seorang M***i berkaitan saudara sesama insan yang bukan muslim.