06/03/2024
Masa kecil dulu ustaz budak nakal. Walau macam-macam nasihat mak ayah bagi, biasalah budak yang s**a merempit, nakal dia lain macam sikit.
Ustaz biasa jatuh motor masuk bawah bas Srijaya. Orang-orang lama tahu lah bas ni.
Ada juga sekali termasuk terbabas masuk dalam bas terus. Orang kata, “ganas betul budak ni.” Haha. Tuan puan bayangkanlah, bas mini dulu-dulu tak ada pintu. Ustaz rempit sekali dengan motor-motor masuk dalam bas.
Alhamdulillah, masih hidup.
Dah tua-tua ni kurang lah sikit nakalnya. Lebih berhemah dan pentingkan keselamatan bila bawa motosikal.
Ustaz selalu pesan pada kawan-kawan bikers,
“Usahalah bawa motor baik-baik. Jangan sampai mati atas jalan raya.” Ngeri bila terlibat dengan jalan raya. Kesian pada ahli keluarga."
Apa yang buat Ustaz berubah dari budak nakal kaki rempit kepada orang yang lebih baik?
Satu perkara beri perubahan dalam diri Ustaz adalah bila Ustaz qada solat. Upgrade solat jadi lebih baik. Ustaz tak main-main, betul. Solat beri kesan yang sangat besar pada diri.
Ustaz sendiri baru faham kenapa orang-orang tua, mak ayah kita selalu pesan:
“Jangan tinggal solat. Jangan tak solat.” Tak putus-putus bagi pesanan.
Sebab apa?
Sebab mereka lebih banyak pengalaman jatuh bangun hidup. Mereka dah rasai betapa mahalnya solat dan beri kesan besar pada hidup.
Dahsyat betul ibadah solat ini. Patutlah Allah sebut dalam Al-Quran sebut salah satu ciri orang berjaya adalah khusyuk dalam solat.
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;” (Al-Quran Surah Al-Mukminun, 23:1-2)
Subhanallah.
Ustaz pernah jumpa banyak pengalaman dengan orang yang betul-betul jaga solat. Allah kurniakan banyak kebaikan kepada diri mereka.
Ada satu kisah tu, kawan Ustaz. Dia pencen askar, berniaga pisang goreng di tepi jalan.
Setiap kali azan, dia berhenti jual pisang goreng, tutup warung. Cepat-cepat bersiap ke masjid untuk solat jemaah.
Ada satu hari, dia jadi imam. Pada rakaat keempat, dia sujud lama. Tak bangun-bangun. Bila jemaah lain datang check, rupanya dia dah meninggal dunia. Hembus nafas terakhir ketika sujud.
MashaAllah, Allah muliakan dia dengan kematian husnul khatimah.
Ustaz kongsi sedikit tips tingkatkan kualiti solat.
1. Ikhlas.
Ikhlas dan sucikan hati untuk kembali dekat pada Allah. Bukan sebab nak menunjuk pada orang lain.
2. Doa.
Banyakkan doa Allah jadikan kita dan zuriat keturunan kita sebagai hamba yang mendirikan solat. Sedang Nabi Ibrahim pun berdoa, apatah lagi kita.
3. Solat awal waktu.
Bina komitmen untuk jadikan solat sebagai upkeutamaan dalam hidup kita. Tak kira dalam apa situasi sekalipun.
4. Usahakan solat Jemaah di surau atau masjid.
Solat Jemaah bagi banyak kesan positif pada hidup bukan semata secara individu tapi juga hidup bermasyarakat.
5. Tambah ilmu berkaitan solat.
Belajar faham makna bacaan dalam solat. Bila faham bacaan , kita akan lebih rasa manisnya solat.
Tuan puan yang dirahmati Allah.
Ramadhan dah tak berapa hari lagi, jom upgrade solat kita. Mana yang terkurang kita cukupkan. Mana yang kurang baik kita perbaiki jadi lebih baik.
Ramadhan bukan semata bulan puasa, tapi dalamnya merangkumi bermacam ibadah termasuk solat sendiri.
Jom tambah kualiti dan kuantiti ibadah.
Agar kita jadi hamba yang dicintai Allah.
Bikers, bikers juga. Tapi solat jangan lupa.